Kisah Seorang ‘Survivor’

Kisah Seorang ‘Survivor’
Kisah Seorang ‘Survivor’

Kisah Seorang ‘Survivor’

Saya seorang penyelidik data yang sudah bekerja selama 12 tahun di sebuah syarikat. 3 tahun lalu, majikan telah melantik ramai pekerja baharu yang lebih muda untuk melakukan kerja-kerja yang saya lakukan. Apa yang menjadi kerisauan saya ialah kemungkinan saya akan kehilangan kerja kerana mereka lebih pantas dan cekap berbanding saya. Ketika itu, saya mula mengalami serangan panik. Mulanya, saya anggap ianya cuma disebabkan oleh tekanan kerja. Pada bulan April 2019, saya mengalami tekanan selepas ibu saya meninggal dunia. Ketika itu, saya mudah untuk kecewa dan marah meskipun dengan hal-hal dan perkara yang kecil. Kadang-kadang saya jerit keluarga saya sendiri kemudian menangis, membuatkan saya benci pada diri sendiri. Saya hilang kepercayaan terhadap semua, termasuk diri sendiri, malah terhadap isteri saya sendiri.

Di tempat kerja, saya merasakan seperti semua orang sedang menertawakan saya. Terasa diri sendiri amat bodoh, hilang keyakinan untuk menjalankan tugas yang diberi dan mudah untuk saya marah rakan sekerja, kemudian bertengkar sehingga menjerit-jerit di pejabat. Beberapa hari juga, saya menyembunyikan diri di kereta seorang diri agar tiada siapa yang melihat saya. Sehinggalah suatu hari, saya memutuskan untuk mengambil cuti sakit selama beberapa hari. Akhirnya, saya kehilangan kerja kerana keadaan saya yang tidak stabil.

Di rumah, saya mula berubah menjadi lebih agresif terhadap isteri dan anak-anak sehingga memukul anak saya yang berusia 8 tahun dengan tali pinggang. Terasa amat teruk mengenangnya, saya mula membenci diri sendiri. Akhirnya, isteri saya memberitahu bahawa dia bersama anak-anak, akan meninggalkan saya sekiranya tidak berubah. Ketika itu saya sedar, saya memerlukan pertolongan tetapi, saya tidak mampu untuk membayar mana-mana sesi kaunseling dan rawatan. Akhirnya, saya membuat panggilan di talian khas kemurungan.

Semasa bercakap dengan individu yang menolong saya selama lebih dari sebulan, saya menyedari bahawa saya mengalami penderitaan akibat kemurungan, tetapi mengambil masa untuk kami sekeluarga menerima keadaan tersebut secara serius. Mereka tidak memahami disiplin-disiplin yang harus saya patuhi untuk menangani keadaan tersebut antaranya dari segi pemakanan, senaman, bersendiri di waktu sunyi, sesi bersama sokongan dan sesi bersama orang yang saya sayang dan percaya.

Sekarang, perlahan-lahan saya dapat mengawal diri. Serangan panik masih berlaku, tetapi amat kurang. Saya akhirnya dapat bekerja semula dan itu perkara yang paling penting.

 

Related Posts
X
Hello, you can choose which representative you want to talk to.